Monday, 17 October 2011

Is It Enough?

Kala ubun menyentuh kain hampar dipanggil sejadah, bercorak bintik-bintik petak, berbentuk tajam di atas, persis busur Robin Hood (kenapa kartun mat saleh tu juga yang perlu diambil contoh?). Tepat menuju ke arah kiblat.

Kala mata terpejam, menafsir ayat yang disebut keluar dari mulut. Bukan baru semalam diajar ayat tersebut, tetapi hampir seluruh hidupnya kini. Cuba difahami isi ayatnya, maksud mendalam di sebaliknya.

Kala telunjuk ditegakkan di atas riba. Naik dan turun. Bukan mengikut ritma, namun mengikut rentak bacaan. Memikirkan amanah serta tanggungjawab yang perlu dipikul serentak dengan erti bacaan. Siapa kata sebutan sahaja sudah memadai?

Kala salam diberi, sedih tanda perpisahan. Bukan perpisahan jarak mahupun tempat. Namun terjana dek akal fikiran, timbul persoalan rawak, masih adakah untuk jam yang seterusnya?

Berapa ramai yang bangun tonggek, tonggek bangun kembali, namun satu pengertian tak mengerti? Berapa jumlah yang menjalankan, namun hanya sekadar topengan diri? Untuk duniawi mungkin? Tak difikir nak diangkut sekali? Berapa  kerat yang tubuhnya bergerak, serentak degupan hati?

Berbagai alasan diberi. Manusia memang begitu. Tak perlu diungkap lebih. Masing-masing saling mengerti. Seperti norma mungkin? Kebiasaan? Lali? Punya masa serupa, peruntukannya tetap sama, namun mengapa ada yang mengendahkan? Seolah taksub, tenggelam dalam gelodak.




Namun, lain ceritanya bagi yang menjalankan namun tidak sepenuhnya. Ahh, apa peduli, janji aku buat!! terpacul keluar membidas persoalan. Sering menampar gegendang, berbunyi sindiran. Ohh, si polan binti si polan, hidupnya begitu kerana jalannya menyimpang, tidak percaya katanya. Pantas, layak memberi teguran, namun harus, atau wajib ku fikir, mengukur di badan sendiri. Bukan mengatakan yang menegur wajib sempurna. Tidak! Masakan jika tiada, siapa yang harus menegur? Namun, pemberinya perlu menelannya sekali, bukan sekadar melontar, namun tidak ditelan.

Kelebihan tidak peroleh jika tidak diselami. Masakan tidak, detik jarum tidak sempat tiba minit ke tiga, hamparannya sudah selamat sampai ke penyidai. Peringatan, pedoman. Harus sentiasa berusaha memperoleh ilmu. Ilmu yang mungkin diajar, dididik, dibimbing sejak zaman tadika, namun menjalankannya tidak sampai separuh nyawa. Buang terus perkataan putus asa jika ingin peroleh manisnya. Pasti ralat andai dibiarkan ilmu yang dipelajari tak diguna, atau membiarkan terkubur setakat itu, tidak ditambah atau diperbaiki. Punya akal fikiran, punya kudrat, sifat sempurna. Lalu, masih terlintas lagi alasan?

Tidak perlu terburu, semua perkara butuh masa. Niat diperbetul, pasti pertolongan jatuh tak disangka. Bantuan kan datang dari pelbagai bentuk dan rupa. Saat tiba, genggam sekejapnya, usah dilepas. Fikir senang? Ya, memang sukar. Namun, pahatkan dalam pemikiran, sekadar ini sajakah?

No comments:

Post a Comment