Friday, 11 November 2011

Fill Your Heart With Gratitude

Kekadang deria tak kelihatan.
Tak menghidu, tak menghirup.
Tak merasa.
Tak menyentuh.
Tak tergerak.

Nilai hidup diterbalikkan.
Andai ada yang bertindak tak sejajar,
pastikan nampak berbeda.
Luaran dipandangnya,
bukan di hati.

Segala-galanya disogok.
Diberi, dikurnia.
Tanda kasihNya.
Namun, ada yang buta.

Usah angkuh.
Sedang gunung gentar pada Sang Pencipta.
Inikan pula si lemah daya. 
Andai kau pandang dari sudut berbeza
Pastikan nampak jalur-jalurnya.
Setiap beting urat.
Setiap sesuatu,
dicipta bukan sekadar penghias dunia.

Selami diri.
Panjatkan rasa penghargaan.
Atas segala-galanya.
Syukur.


Tuesday, 18 October 2011

Guide Us

Lemah. Rapuh. Dayanya mungkin tiada. Seolah diajar merangkak semula. Seolah ubun lembut mencecah tidak serasa dianjaknya.

Terlalu banyak. Keliling. Separuh mahupun seluruh. Pasti wujud. Sukar diendah, dielak lagi susah. Jenis apakah itu? Atau siapa? Usah dipertikai. Ianya tetap ada. Yang membezakan cuma, kekuatan. Ya. Keutuhan sekeping  hati. Dibina bukan dalam masa sehari. Bukan hanya satu sumber digunapakai. Berbagai perjalanan dilalui. Lalu harus diabai?

Menggeletar. Tubuh terasa longlai, bagai lalang ditiup taufan. Berani menganjak, bergerak. Gentar bertindak, terserah. Terhampar. Usah kau angan, akan hadir sentiasa. Apa guna akal diberi, fikiran dikurnia? Besar panjang sudah, namun harus ditunjuk baik buruknya? Harus dibimbing langkah ayunannya?  



Benar. Diri bukan anak kecil, yang bisa disogok dengan sejumlah isi dunia, waima hanya diberi manisan berbalut di tangan. Kan melonjak riang gembira. Namun, ternyata berbeza pastinya, dunia sang dewasa. Apa kau fikir hebat sehingga apa yang terjadi dipersoalnya? Bukan begitu caranya.

Pantas tangan diangkat, tunduk sebawahnya. Sedalamnya juga lebih ada baiknya. Lebih ada maknanya. Kau pasti merasa. Usah membongkak. Kau berserah? Lakukan seperti yang diperkata. Bukan hanya sekadar butiran di mulut, namun di hatinya tiada. 

Rendah. Terlekap tanpa fikir erti mengalah. Mohon selembutnya. Dengan kesabaran pastinya. Justeru diperbetul niatnya. Haa, sudah dikhabar, kau pasti merasa. Rasainya. Dalaminya. Bukan semua diberi peluang sedemikian rupa. Usai kau merasa, percaya. Lalu berserah. 

Pintanya tidak keterlaluan, juga bukan mengundang musibah khusus untuk seterunya. Bertahan. Pasti kan dapat harungi segala. Musibah juga sengketa. Kadang gembira juga musibah, namun perlu dikawal seeloknya. Suka mahu duka, tetap rahmat dariNya. 

Tunjukilah.

Monday, 17 October 2011

Is It Enough?

Kala ubun menyentuh kain hampar dipanggil sejadah, bercorak bintik-bintik petak, berbentuk tajam di atas, persis busur Robin Hood (kenapa kartun mat saleh tu juga yang perlu diambil contoh?). Tepat menuju ke arah kiblat.

Kala mata terpejam, menafsir ayat yang disebut keluar dari mulut. Bukan baru semalam diajar ayat tersebut, tetapi hampir seluruh hidupnya kini. Cuba difahami isi ayatnya, maksud mendalam di sebaliknya.

Kala telunjuk ditegakkan di atas riba. Naik dan turun. Bukan mengikut ritma, namun mengikut rentak bacaan. Memikirkan amanah serta tanggungjawab yang perlu dipikul serentak dengan erti bacaan. Siapa kata sebutan sahaja sudah memadai?

Kala salam diberi, sedih tanda perpisahan. Bukan perpisahan jarak mahupun tempat. Namun terjana dek akal fikiran, timbul persoalan rawak, masih adakah untuk jam yang seterusnya?

Berapa ramai yang bangun tonggek, tonggek bangun kembali, namun satu pengertian tak mengerti? Berapa jumlah yang menjalankan, namun hanya sekadar topengan diri? Untuk duniawi mungkin? Tak difikir nak diangkut sekali? Berapa  kerat yang tubuhnya bergerak, serentak degupan hati?

Berbagai alasan diberi. Manusia memang begitu. Tak perlu diungkap lebih. Masing-masing saling mengerti. Seperti norma mungkin? Kebiasaan? Lali? Punya masa serupa, peruntukannya tetap sama, namun mengapa ada yang mengendahkan? Seolah taksub, tenggelam dalam gelodak.




Namun, lain ceritanya bagi yang menjalankan namun tidak sepenuhnya. Ahh, apa peduli, janji aku buat!! terpacul keluar membidas persoalan. Sering menampar gegendang, berbunyi sindiran. Ohh, si polan binti si polan, hidupnya begitu kerana jalannya menyimpang, tidak percaya katanya. Pantas, layak memberi teguran, namun harus, atau wajib ku fikir, mengukur di badan sendiri. Bukan mengatakan yang menegur wajib sempurna. Tidak! Masakan jika tiada, siapa yang harus menegur? Namun, pemberinya perlu menelannya sekali, bukan sekadar melontar, namun tidak ditelan.

Kelebihan tidak peroleh jika tidak diselami. Masakan tidak, detik jarum tidak sempat tiba minit ke tiga, hamparannya sudah selamat sampai ke penyidai. Peringatan, pedoman. Harus sentiasa berusaha memperoleh ilmu. Ilmu yang mungkin diajar, dididik, dibimbing sejak zaman tadika, namun menjalankannya tidak sampai separuh nyawa. Buang terus perkataan putus asa jika ingin peroleh manisnya. Pasti ralat andai dibiarkan ilmu yang dipelajari tak diguna, atau membiarkan terkubur setakat itu, tidak ditambah atau diperbaiki. Punya akal fikiran, punya kudrat, sifat sempurna. Lalu, masih terlintas lagi alasan?

Tidak perlu terburu, semua perkara butuh masa. Niat diperbetul, pasti pertolongan jatuh tak disangka. Bantuan kan datang dari pelbagai bentuk dan rupa. Saat tiba, genggam sekejapnya, usah dilepas. Fikir senang? Ya, memang sukar. Namun, pahatkan dalam pemikiran, sekadar ini sajakah?

Saturday, 15 October 2011

Verily

Begitu susah langkah diayun
derapan kaki tak kedengaran
hatta di halwa telinga,
sebuah ceritera menjana pemikiran akal sang bijaksana
bukan ingin diangkuhkan kesempurnaan yang diberi Maha Kuasa
namun bersyukur tatkala ketika
diri masih bernyawa













Begitu jerih maksud dihayati
ayat demi ayat cuba ditelan, dihadam
namun dibiarkan kekal selamanya
atau ditambahkan nisbahnya

Sesungguhnya
Bukan senang ingin menongkah menengadah melawan arus dunia
Ahh
Hanya sekadar setitik air hujan
jangan dianggap,dimimpi, direncana
bisa menjadi bah seantero dunia













Sesungguhnya
Bawaan diri menjadi kabur sekelam atmosfera
bagai air menyimbah turun ke bumi yang fana
namun ada hikmah disebaliknya
menjadikan alam sehijau serentak warna gaia
tumbuhan melata menjadi punca
hidupan gagah menyelongkar isinya

Sesungguhnya
Arah digerak mengikut tanpa nesta
usah dipertikai susunan aksaranya
jua maksudnya yang tersirat
mendalam
mencucuk
menggerak
mengarah
diarah
dan 
yang mengikut perintah
kerna tatkala segala kemahuan dikaburi
ditutupi perkara utama
tiada gusar jua gundah gulana

Sesungguhnya
Terayun, tergantung letak lehernya
sudah dipasak sejak mula
hanya butuh usaha dan juga petunjukNya
kepercayaan langsungan tidak dilupa
tanpa dusta
kan selamat mendarat 
di tanah tercucuk duri noda
duri nista
yang melalaikan sang pencinta
juga di hamparan nikmat
dari pemberi cinta 

Sesungguhnya....